Saturday, March 28, 2009

tazkirah USTAZAH YAM....

APA SUMBANGAN KITA TERHADAP IBUBAPA


Ibu bapa merupakan orang yang wajib kita hormati dan
taati.Perintah mentaati keduanya jelas termaktub di dalam
Quran dan Hadith. Mengecilkan hati, melawan atau
mengherdik keduanya dianggap sebagai derhaka.

Menderhaka kepada ibubapa adalah satu dosa besar dan
tidak akan mencium bau syurga; meskipun banyak beribadat
kepada Allah. Allah tidak menerima ibadat orang yang
derhaka kepada ibubapa.

Dalam satu hadith, Nabi Muhammad saw bersabda bahawa
keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan kedua
ibubapa. Ini bermakna jika ibubapa suka kepada kita, Allah
turut meredhai kita. Sebaliknya jika mereka marah dan
berkecil hati kepada kita, Allah turut murka kepada kita.

Pernah seorang sahabat mengadu kepada Rasulullah
tentang perangai ibunya yang suka meminta-minta
kepadanya. Baginda marah dan menempelak sahabat itu
dengan mengatakan bahawa bukan saja dalam harta
malahan dalam dirinya sendiri ada hak kedua ibubapanya.
Jelas ibubapa mempunyai hak terhadap apa saja yang ada
pada kita.

Sejak kita di dalam kandungan, ibu menanggung segala
kesakitan dengan penuh sabar. Begitu juga setelah
dilahirkan, ibu mengasuh dan menjaga kita dengan penuh
kasih sayang. Jika kita sakit, ibu tidak lelap tidur. Mereka
berkorban apa saja untuk kita. Tetapi setelah kita besar dan
boleh berdikari, sanggupkah kita mengecewakan hatinya.

Oleh kerana besarnya pengorbanan ibubapa terhadap kita,
maka sewajarnyalah Allah mewajibkan kita mematuhi
mereka. Ganjaran di atas layanan kita terhadap ibu bapa
dibalas oleh Allah tunai semasa di dunia lagi. Contohnya, jika
kita mentaati mereka, anak-anak kita akan taat kepada kita.
Sebaliknya jika kita menderhaka kepada mereka, anak-anak
kita akan derhaka kepada kita pula.

Nabi Muhammad saw pernah bersabda:

"Barangsiapa semasa paginya mendapat keredhaan
ibu bapa, nescaya dibukakan baginya semua pintu
syurga. Sebaliknya jika semasa pagi lagi telah
menyakiti hati ibubapa, nescaya akan dimasukkan ke
dalam neraka."

Kita sebenarnya tidak berdaya membalas jasa ibu dan bapa.
Hakikat ini perlulah kita insafi. Jika mereka tidak wujud di
dunia, kita juga tidak akan lahir di dunia ini. Oleh sebab itu,
kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat.
Jika mereka masih hidup, layanilah mereka dengan
sebaik-baik mungkin. Tetapi jika sudah meninggal dunia,
selalulah menziarahi tanah perkuburan di samping
mendoakan kesejahteraannya. Buatlah sebarang kebajikan
seperti sedekah dan niatkan pahala untuk arwah ibu dan
bapa. Mereka akan menerima pahala tersebut. Inilah sahaja
bukti ketaatan yang dapat kita tunjukkan terhadapnya.

Akhirnya, ingatlah pesanan Nabi saw:

"Khabarkanlah berita gembira ini kepada mereka
yang berbuat baik kepada ibubapa: Buatlah apa saja
bahawasanya Allah Taala telah mengampuni mereka.
Dan khabarkan berita buruk kepada mereka yang
menderhakai ibubapa, buatlah seberapa banyak
ibadat yang disukai, bahawasanya Allah Taala tidak
akan memberikan keampunan sedikitpun
kepadanya."

"Ingatlah anak yang berbuat baik kepada ibubapa
tidak akan masuk neraka. Dan anak yang derhaka
kepada mereka tidak akan masuk syurga."

No comments:

Post a Comment

sohseh sohseh